*

Friday, July 30, 2010

TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA KETUA POLIS NEGARA, TAN SRI MUSA TAN SRI HAJI HASSAN

SAAT DIMAKLUMKAN PERMOHONAN UNTUK MEMBUAT TEMUBUAL BERSAMA KETUA POLIS NEGARA,TAN SRI MUSA B. TAN SRI HASSAN TELAH DIPERSETUJUI, HATI SETIAP AHLI TEAM BERITA IKDN GEMBIRA SEKALI PUN BEGITU TETAP BERDEBAR. KETUA POLIS NEGARA BUKAN SEMBARANGAN ORANG. KIRANYA INILAH TEMUBUAL KHAS PORTAL BERITA IKDN MENUTUP TIRAI 2009. TEMUBUAL INI BERLANGSUNG DALAM SUASANA DI LUAR SANGKAAN AWAL. MESRA, TELUS DAN TULUS WALAU SOALAN-SOALAN YANG DIBERIKAN BERUNSUR PROVOKASI. TERNYATA PENGALAMAN KETUA POLIS NEGARA ADALAH ILMU YANG TIDAK MUDAH-MUDAH DITEMUI. IKUTI TEMUBUAL BERIKUT YANG BERLANGSUNG DI PEJABAT BELIAU DI BUKIT AMAN.
*****************************************************************



S1 : Tan Sri sebagai seorang IGP(Ketua Polis Negara), secara peribadi apakah pandangan Tan Sri dengan jawatan ini? Dikelilingi ’glamer’?

Tan Sri : Pertama sekali ingin saya memberitahu bahawa saya telah bertugas sebagai anggota polis sudah selama 40 tahun. Bermula daripada Inspektor, dan telah memegang banyak jawatan dalam pasukan polis, daripada pegawai penyiasat kepada pegawai pendakwa terus kepada timbalan ketua polis daerah kemudian sebagai pengawai penyiasat undang-undang dalam Narkotik sehinggalah saya dinaikkan ke Jeneral. Saya beranggapan jawatan sebagai Ketua Polis Negara satu jawatan yang mencabar. Ia adalah tanggungjawab yang berat. Ianya bukanlah satu pelantikan yang kita boleh banggakan. Seolah-olah macam kita ini orang yang terpilihlah. Saya tidak pernah berfikir begitu. Tugas ini memerlukan memerlukan komitmen. Tugas ini memerlukan seorang itu bertanggungjawab. Seorang yang berani membuat keputusan walau keputusan yang dibuat tidak disukai. Terutama sekali oleh orang dalaman. Cabaran ini datang bukan semata kerana tuntutan tugas tetapi juga pandangan orang ramai terhadap kita (Polis) . Walau saya sebagai Ketua Polis Negara itu tidak bermakna saya mendapat pengecualian jika saya berkelakuan di luar norma-norma ataupun etika. Maka ini akan mendapat kritikan daripada orang awam. Jadi oleh itu sebagai seorang Ketua Polis Negara saya mesti bertanggungjawab dalam pelbagai tugas dan peranan ini, adil dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Tugas paling berat saya ialah memastikan keamanan dan keselamatan negara ini agar masyarakat dapat hidup aman. Itulah tugas yang paling berat sekali.

S2 : Ketua Polis Negara adalah juga manusia biasa, juga seorang awam. Jadi bagaimana Tan Sri mengimbangi jawatan dan fungsi sebagai oragn awam dan sebagai Ketua Polis Negara?

Tan Sri : Sewaktu kita diterima sebagai anggota Polis, apabila kaki kita berada dalam ruang lingkup PDRM, kita telah diajar berkaitan dengan peraturan. Dalam PDRM ini ada etika dan peraturan. Jadi apabila kita dah masuk pasukan polis ini kita terpaksa mengikut etika dan peraturan. Menjadi seorang pegawai polis menjadikan kita seorang yang tidak bebas dan terikat. Saya pun kalau nak bercuti kena memohon, nak keluar daerah pun kena memohon. Saya tidak boleh keluar macam orang biasa yang lain. Oleh kerana saya dah lama hidup dalam keadaan yang banyak peraturan, saya menajdi seperti sudah kalih. Jawatan ini menjadikan saya manusia yang tidak bebas. Ada etika dan peraturan yang perlu saya patuhi. Seorang anggota polis bukan lah seorang manusia yang bebas. Hanya apabila pencen baru dia bebas.

S3 : Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga Tan Sri?

Tan Sri : Pada saya, disiplin yang saya pelajari di sini saya praktikkan juga di rumah. Ia bermakna disiplin tadi perlu dipatuhi oleh anak-anak dan juga isteri saya kerana mereka sebahagian daripada saya. Tiada masalah kepada saya dan keluarga saya. Contohnya, kepada anak-anak, saya beritahu kalau hendak keluar mesti beritahu kepada saya dahulu. Bukan saya kongkong dan tidak membenarkan mereka untuk keluar cuma beritahu dan minta izinlah. Jika berjumpa kawan, siapa kawannya? Kalau boleh, bawa ke rumah...dapat juga saya berjumpa mereka. Jadi kita juga boleh berkawan dengan kawan anak kita. Saya tidak membiarkan anak saya keluar tidak tentu hala. Pergi mana-mana tidak beritahu, tidak boleh. Habis lewat, mereka tidak boleh balik selepas pukul 12. Pada pukul 12, you must be in the house

S4 : Pangkat sebagai IGP sentiasa terdedah kepada kontroversi, tidakkah keluarga akan merasa tertekan dengan tempiasnya?

Tan Sri : Mereka memang faham. Ini adalah tugas saya. Jika saya ditimpa kontroversi mereka kena bersabar juga lah. Kontroversi ataupun tohmahan-tohmahan yang dibuat ini semua tidak betul. Sengaja dibuat. Maklumlah kita ini nak melaksanakan undang-undang. Hendak membetulkan keadaan, bukan semua orang suka. Sebagai contoh, apabila saya mengambil alih pucuk kepimpinan PDRM, saya hendak menghapuskan rasuah di kalangan anggota polis. Itu bukan kerja senang. Ada perkara-perkara yang saya arahkan sebelum ini tidak disukai oleh orang bawah saya sendiri. Orang di luar sana apatah lagilah terutama sekali mereka yang terliabt dalam aktiviti ini. halangan untuk mereka sudah datang. Itu cabaran buat saya. Tetapi, kalau saya cekal dan saya membuatnya dengan betul dan saya tidak terlibat dengan perkara-perkara negatif begini…mengapa perlu saya risau?

S5 : Saya tertarik apabila Tan Sri katakan tadi mahu membetulkan pasukan polis dan menghapuskan rasuah dalam pasukan polis. Maknanya penerimaan rasuah di kalangan angota polis itu berlakulah?

Tan Sri : Ada. Ia memang ada. Saya sendiri pun terkena tohmahan-tohmahan yang mengatakan saya kononnya terlibat dengan rasuah. Kononnya mereka yang membuat illegal activities memberikan saya sejumlah wang setiap bulan. Saya minta BPR (SPRM) siasat saya. Saya tidak takut. Saya bagi account number bank saya untuk BPR periksa dan semak. Mengapa perlu saya takut kalau saya tidak buat? Saya tidak mempunyai asas untuk merasa takut.

S6 : Bermula dengan hari pertama Tan Sri melaporkan diri sebagai IGP (Ketua Polis Negara) sampai sekarang ini, bagaimana situasi kadar perasuhan di kalangan anggota polis?

Tan Sri : Alhamdulillah, saya rasa dengan perancangan yang telah saya buat sekarang ini kadar rasuah ini menurun...beransur kurang. Saya telah membuat program-program contohnya naziran, di mana apabila mereka menjalankan tugas for example traffic...mereka ditugaskan untuk memerhati. Jika ada anggota polis kita terlibat, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan. Orang ramai juga tolonglah memaklumkan kepada kita untuk kita mengambil tindakan. Maklumkanlah kepada saya jika sekiranya ada pegawai-pegawai saya melakukan perkara-perkara yang tidak betul. Kalau ada, mereka boleh menghantar sms kepada saya atau memaklumkan kepada pegawai yang lain supaya kita dapat mengambil tindakan. Ramai orang awam yang mengadu kepada saya tentang kelakuan polis dan jika ia benar, kita akan ambil tindakan tatatertib kepada pegawai polis tersebut

S7 : Saya percaya bahawa rakyat tidak akan percaya dengan apa yang Tan Sri katakan tadi dan menganggap ia hanyalah satu statement untuk menyedapkan hati rakyat.

Tan Sri : Satu perkara yang buat saya marah juga bingung kadang kalanya...yang beri rasuah ialah rakyat juga...yang komplen rakyat juga. Kalau tidak ada orang memberi rasuah maka tiadalah orang yang menerima rasuah. Kalau polis itu minta macamana sekalipun, kalau orang ramai tidak memberi masakan polis itu boleh dapat rasuah? Orang awam dalam apa cara dan keadaan sekalipun janganlah hulurkan rasuah. Kalau tidak, ia akan menjadi budaya.

S8 : Mungkin di peringkat PDRM perlu melancarkan satu talian anti-rasuah? Jika sudah ada talian itu bagaimana pula sambutan dari orang awam?

Tan Sri : Saluran tersebut sudah ada. Bahkan orang ramai ada yang memaklumkan sendiri kepada saya melalui sms, telefon dan juga bilik gerakan kita. Saya mengadakan hubungan yang rapat dengan SPRM. Selalu ada perbincangan dengan mereka dan saya minta pihak SPRM untuk memberi ceramah-ceramah berkenaan rasuah kepada pegawai-pegawai saya.

S9 : Tetapi masih lagi tidak dapat menghapuskan sepenuhnya?

Tan Sri : Kalau dikata hapus rasuah, tidak mungkin. Kerana selagi kita manusia, kerana ini adalah nafsu manusia. Tetapi kita ingin mengurangkan at least tidak menjadi budaya dan barah dalam masyarakat. Itu penting. Nak hapuskan jenayah itu tidak boleh seratus peratus. Selagi ada manusia selagi itu ada jenayah. Kalau semuanya jadi malaikat, bolehlah jenayah itu dihapuskan. Pasal malaikat tidak melakukan jenayah atau dosa.

S10 : Tan Sri, berkait dengan pengistiharan hotspot, adakah pengistiharan itu memberi kesan?

Tan Sri : Saya rasa, dalam kita menjalankan tugas polis mencegah jenayah, sememangnya kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang kita lihat kadar jenayah meningkat. Perkara ini juga telah dijalankan. Saya telah mengarahkan semua ketua-ketua polis daerah mengambil tindakan-tindakan yang lebih berkesan di kawasan-kawasan hotspot. Apabila saya dilantik sebagai Ketua Polis Negara, saya telah mengisytiharkan bahawa untuk melawan jenayah is the first priority. Lalu saya telah saya mewujudkan pelan penambahbaik pada tahun 2007. Dan dari segi itu, saya telah melancarkan commitee policy di mana polis ini perlu diletakkan tempat-tempat residen untuk rapat dengan masyarakat supaya mereka dapat menjalankan high profile policing. Itu telah saya letakkan di peringkat awal pelantikan saya sebagai Ketua Polis Negara. Saya juga telah membuat rancangan untuk menambah sebanyak 60,000 pegawai polis. Kali terakhir pengambilan intake yang begitu banyak adalah pada tahun 1969. Sekarang sudah berapa tahun. Population negara sudah meningkat. Pembangunan pun dah pesat. Banyak taman-taman sudah dibuka namun balai polis masih di tahap lama, tidak ditambah. Jadi, ia perlu selaras dengan pembangunan. Kerana itulah saya meminta agar balai-balai baru dibuka. Kalau tidak, kita tidak boleh memberi service kepada orang ramai kerana kita tidak cukup anggota.

S11 : Bagaimana keadaannya sekarang Tan Sri?

Tan Sri : Alhamdulillah, sekarang balai-balai baru telah dibuka dan saya juga dalam perancangan untuk melihat semula kawasan-kawasan kepolisan contohnya seperti Klang. Hanya satu IPD tetapi Klang ini besar. Jadi kita nak bahagi kawasan iaitu Klang Utara dan Klang Selatan. Jadi itulah contoh pembahagian sempadan-sempadan kepolisan supaya polis itu wujud di kawasan penempatan ini untuk memberi perkhidmatan. Ini perlu dilakukan kerana pembangunan semakin pesat. We must not forget that police is still relevant di kawasan-kawasan ini. Jadi dengan adanya NKRA ini baguslah kerana kerajaan sedar mustahaknya untuk mengurangkan kadar jenayah dan Alhamdulillah…dengan adanya NKRA ini kerajaan juga mendapat maklumbalas daripada masyarakat dan agensi-agensi yang lain untuk memantapkan tindakan.

S12 : Apakah yang menyebabkan keperluan kepada pengwujudan sempadan kepolisan dan pertambahan anggota ini baru disedari semenjak pengambilan kemasukan polis secara besar-besaran pada tahun 1969?

Tan Sri : Oleh kerana polisi kerajaan yang mementingkan pembangunan maka kerajaan terlupa pada keselamatan. Setiap kali dapat bajet, security dipotong banyak. Oleh kerana terlampau menumpukan kepada pembangunan, education tetapi kita lupa pada security. Jadi security adalah di tahap yang lebih bawah.

S13 : Jadi adakah itu salah satu sebab kadar jenayah yang semakin meningkat?

Tan Sri : Ya betul kerana sekarang ini sudah terbuka. Ramai orang-orang asing datang ke sini, sekarang dunia tiada sempadan melalui Internet. Banyak sekali jenayah-jenayah tanpa sempadan yang berlaku. Dulu kita tidak ada human trafficking atau pemerdagangan orang, sekarang sudah ada. Itu sebab saya katakan, perancangan kita mestilah seiring dengan pembangunan. Kalau keselamatan tidak seiring dengan pembangunan...inilah jadinya.

S14 : Jadi cabaran polis hari ini ialah menangani bentuk-bentuk jenayah baru seperti pemerdagangan orang?

Tan Sri : Betul, cara bekerja sekarang bukan seperti dahulu lagi. Dulu tradisional, sekarang communication semuanya dah cepat. Penjenayah hendak buat jenayah sekarang sudah cepat. Hanya buat panggilan telefon sahaja. Jadi polis juga kena cepat bergerak. Teknologi kita juga kena cepat meningkat. Ini yang saya minta. Sistem dan teknologi yang bersepadu. Kalau itu tidak diberikan bagaimana hendak membanteras jenayah? Sekarang teknologi yang sedia ada di bumi ini, orang luar pakai lebih canggih daripada polis. Itu sebab saya mahukan update dalam teknologi communication, teknologi penyiasatan dan macam-macam lagi. Kita boleh bekerja, tapi berikanlah tools. Apabila kita berada dalam era baru tapi peralatan masih kuno, kita hendak buat macamana?

S15 : Tan Sri, antara jenayah baru dan kepelbagaian kaum di Malaysia yang manakah lebih mencabar kepada anggota polis?

Tan Sri : Saya rasa kita sudah lama hidup multi racial. Saya tidak ada masalah. Itu pada saya bukan masalah. Masalah saya adalah untuk menghadapi jenayah. Banyak jenis jenayah disebabkan permodenan, internet dan komunikasi dan dunia tanpa sempadan. Dari segi racial tiada masalah kerana kita sudah hidup bersama sejak lama lagi. Cuma yang saya tidak suka ada kumpulan-kumpulan yang tertentu yang membangkitkan racial yang boleh menyebabkan keselamatan negara bergoyang. Kumpulan-kumpulan yang sentiasa memainkan isu-isu racial dan chauvinistic dan hero kepada bangsa. Ini adalah perkara yang tidak betul. Daripada dulu lagi kita sudah hidup bersama. Itu tidak ada masalah tetapi kumpulan-kumpulan ini menjadi penghasut. Kepada kumpulan penghasut ini, saya perlu mengambil tindakan.

S16 : Tan Sri dikatakan bertindak berdasarkan kaum atau parti politik?

Tan Sri : UMNO pun kita tangkap. Kalau mereka tidak betul baik ahli politik dan anggota kerajaan pun kita tangkap. Saya tidak pilih bulu. Sebagai pegawai polis kita neutral. Saya sudah cakap banyak kali bahawa kita tidak melihat warna. Kita buta warna. Dalam bertindak, tindakan kita adalah berlandaskan undang-undang. Sesiapa sahaja yang melanggar arahan samada politician atau anggota kerajaan...kita tetap mengambil tindakan. Kita tidak berat sebelah. Pembangkang yang selalu buat perhimpunan haram.

S17 : Adakah kerana ini permit tidak diberikan?

Tan Sri : Itu bergantung kepada tujuan perhimpunan tersebut. Kalau tujuannya untuk menimbulkan fitnah...bukan memberi penerangan yang sebenar dan menghasut, tentu kita tidak boleh benarkan. Kalau hendak buat ceramah buat betul-betul. Ini tidak ceramah bertukar kepada cerita menghasut dan memfitnah orang. Kita bertindak kerana jika kita biarkan ia akan meransang mereka yang hadir untuk terpengaruh dengan cerita hasutan tadi. Keadaan akan jadi panas dan tidak terkawal. Kita kena bertindak untuk mengawal keadaan. Jika orang yang jadi mangsa fitnah tadi bertindak untuk menyerang balas bagaimana? Bukankah keadaan menjadi tidak terkawal?

S18 : Pemakaian permit itu mungkin sebagai alasan?

Tan Sri : Tiada permit pun mereka tetap buat. Bukan pasal permit sebenarnya. Mengikut pemerhatian dan pengalaman kita...kumpulan ini tiada permit pun mereka tetap buat juga. Tapi kalau dengan permit...ada kita ganggu mereka?

S19 : Tidakkah Tan Sri merasa resah apabila setiap hari dihentam dengan kontroversi?

Tan Sri : Saya tiada masalah. Yang menentang itu ada agenda. Saya tiada agenda. Saya cuma menjalankan undang-undang. Saya tidak ada masalah.

S20 : Tan Sri, saya pernah bertanya beberapa orang awam adakah mereka berasa selamat di Malaysia ? Ada yang menjawab bahawa mereka tidak berasa selamat.

Tan Sri : Saya selalu keluar berjalan seorang diri. Saya tidak menggunakan escort. Saya pergi pasar pun jalan kaki seorang diri. Negara ini selamat. Ini merupakan perception.Akhbar suka memainkan isu keselamatan. Apabila sesuatu kejadian berlaku dipampangkan secara besar-besaran di dada akhbar. Amerika dan Singapura pun banyak jenayah tetapi orang merasa selamat kerana tidak dimainkan dengan api di akhbar. Yang kedua politician sendiri mengatakan bahawa tidak merasa selamat di Malaysia. Apabila kejadian jenayah berlaku terus menuduh bahawa polis tidak membuat kerja kerana marah saya menangkap illegal activities. Apabila politician bercakap inilah yang memberi persepsi. Pada saya, jenayah mempunyai perkaitan dengan pelacuran. Ada pelacuran ada gangsterism, bila ada gangsterism terdapatlah jenayah.

S21 : Persepsi yang tidak dirawat akan memberi kesan kepada keselamatan negara.

Tan Sri : Itu bukan peranan polis semata-mata. Setiap orang kena memainkan peranan. Media...politician juga perlu memainkan peranan. Yang kedua adalah masalah sosial. Peranan poliskah masalah sosial? Itu masalah politik iaitu orang-orang yang mentadbir. Masalah-masalah sosial ini berlaku kerana pengganguran, kerana tiada pekerjaan. Maka sediakanlah peluang pekerjaan kepada mereka. Naikkan gaji. Ini ambil orang asing kerana murah. Jadi siapa yang akan memberi makan kepada orang tempatan? Ramai berkata masalah sosial banyak datang dari kaum India. Sewaktu, estet ditutup siapa yang menjaga mereka? Mereka tinggal di mana? Di rumah-rumah tumpangan haram. Tiada penempatan yang betul. Ini siapa punya salah? Polis ke?

S22 : Polis sememangnya harus menjaga keselamatan kerana polis dibayar gaji maka orang awam menganggap bahawa keselamatan mereka terjaga.

Tan Sri : Setiap orang perlu menjaga keselamatan masing-masing dahulu. Kita perlu berusaha dahulu menjaga keselamatan diri. Saya juga menjaga diri sendiri. Jika saya berjalan sendiri saya juga melihat sekeliling saya.

S23 : Pasti Tan Sri sendiri, ada sahaja mata-mata tertentu yang memerhati pergerakan Tan Sri.

Tan Sri : Ya, saya juga menjaga keselamatan saya. Saya juga memerhati jika ada orang atau motor yang lalu berhampiran dengan saya. Penjagaan diri sendiri itu penting. Kalau kita tidak tahu menjaga diri sendiri bagaimana kita mahu orang menjaga diri kita? Sebab itu kita ada program awareness. Jika berjalan seorang diri janganlah memakai emas setebal-setebalnya. Kalau ditarik telinga nanti putus. Tengoklah pada keadaaan. Kalau mahu mengeluarkan wang, janganlah pergi seorang diri. Kalau orang perhati, orang tahu yang you keluarkan duit, orang samunlah. Banyak cara boleh jaga diri.

S24 : Apabila ada berita-berita negatif mengenai anggota-anggota PDRM, sebagai Ketua Polis Negara, adakah Tan Sri terpukul?

Tan Sri : Tidak, saya tidak terpukul tetapi saya penat. Saya penat kerana sudah sudah banyak kali saya mahu memperbetulkan keadaan. Banyak program-program yang telah saya jalankan untuk memperbaiki keadaan tetapi jika masih ada pegawai-pegawai polis yang melanggar etika, saya rasa penat. Saya juga penat apabila ada polis diberi tohmahan. Dan orang ramai pula yang memperlekehkan polis. Orang yang membuat tohmahan ini niat mereka ialah biarlah mereka bebas buat apa yang mereka suka. Sedangkan mana ada hidup bebas. Hidup mesti ada pegangan dan peraturan. Jika tidak kita akan hidup seperti binatang di dalam hutan Siapa yang kuat, dialah juara.

S25: Tan Sri sering ke luar negara, bagaimanakah Tan Sri melihat rakyat Malaysia?

Tan Sri : Saya melihat bahawa rakyat Malaysia sangat manja. Semuanya mahu dilakukan oleh kerajaan. Saya melihat di luar negara, rakyah mereka membantu polis. Mereka menegur orang yang tidak betul. Mereka diajar seawal di bangku sekolah lagi. Undang-undang diajar di sekolah contohnya undang-undang trafik di Armsterdam. Seorang budak kecil menegur saya ketika saya melintas jalan ketika lampu isyarat trafik masih merah. ”Sir, don’t walk! It’ red. Wrong! It’s red”. Kita di sini, tiada begitu, kita main jalan sahaja. Kita di sini kadang-kala kita suruh anak kita yang keluar pergi belikan rokok.

S26 : Tan Sri kata rakyat Malaysia manja tetapi bukankah itu yang kerajaan sepatutnya beri kepada rakyatnya?

Tan Sri : Kita kena tanya diri kita, apa yang kita boleh berikan kepada negara kita juga. Kita sebagai rakyat, kita kena tanya diri kita. Apa yang kita boleh buat untuk negara kita? Tanya diri sendiri, apa saya boleh buat untuk negara saya? Itu yang paling penting.

S27 : Apa pesanan Tan Sri kepada rakyat Malaysia?

Tan Sri :Kepada pegawai-pegawai polis jalankanlah tugas dengan ikhlas, jujur dan amanah supaya masyarakat gembira dengan perkhidmatan yang kita beri kepada masyarakat supaya kita dapat dihormati oleh masyarakat. Kepada masyarakat pula, saya mohon patuhlah kepada undang-undang dan hormatilah sesama budaya, kaum dan agama. Hiduplah bersama kerana sudah lama kita hidup bersama. Kita ada budaya kita sendiri, cara menghormati antara satu sama lain. Kalau kita nak bersuara perlu ada saluran yang betul. Bukan dengan melalak di tepi jalan. Itu bukan budaya kita. Budaya kita adalah menghormati orang. Terima kasih.

Editor iKDN | 31 Disember 09 2:27am

Published in http://www.ikdn.org/511.html

No comments:

Post a Comment

Disclaimer on posted comments by others:

The blog owner takes no responsibilities on the contents of comments posted by visitors. All comments may be edited for clarity and unsuitable or offensive comments will not be displayed. In order to maintain the value of this blog and to reduce automated postings, the owner of this blog may from time to time close a discussion to further comments.

Please keep your contributions civil, tasteful and relevant. For the purpose of maintaining the value of this blog, you are required to consider the following prior to posting your comments:

* Do not post messages that are unlawful, harassing, defamatory, abusive, threatening, harmful, obscene, profane, sexually oriented, or racially offensive.

* Only post messages once, do not re-post the same message or very similar messages.

* Protect your privacy. Do not post personal information, including addresses, place of employment, telephone numbers, or email addresses.

* Keep your posts relevant so that the flow and value of discussions can be upheld.

* Do not advertise or promote products or services, or post web links (URLs).